Thursday, February 2, 2012

Ngaji atau baca Quran

Malam ni malam jumaat. Zaman kanak-kanak dulu, malam jumaat ni kami off belajar mengaji quran. Kami semua ke surau kerana malam jumaat ada baca yasin selepas solat maghrib. Lepas isyak ada morey. 

Zaman sekarang jarang jumpa orang buat majlis baca yasin malam jumaat lepas maghrib. Kebanyakkannya ada ceramah agama atau kuliah maghrib. Sebabnya ada orang berpendapat ceramah atau kuliah agama tu amalan jugak. Mengaji pun zikir. Kuliah pun dikira zikir atau mengingati Allah jugak.

Tapi itu bukan persoalannya. Persoalannya ialah mengapa orang dulu panggil ngaji quran, orang sekarang panggil baca quran. Adakah dua perkataan ini membawa maksud yang sama? Ngaji itu baca, baca itu ngaji...

Bila kita tanya orang tentu kita akan dapat jawapan yang berbagai-bagai. Maklumlah orang sekarang ramai yang bijak. Tanyalah apapun, pasti ada jawapan. Logik atau tidak, menasabah ke tidak itu perkara lain. Yang penting mesti jawab dulu... 

Dalam banyak jawapan tu ada satu yang menarik. Katanya ngaji atau mengaji tu asal dari perkataan kaji atau mengkaji. Mengaji quran bermakna mengkaji quran... Berbeza membaca quran dengan mengkaji quran ni... Kalau kita tanya orang yang baca quran, apa makna alif lam mim. Tentu dia akan jawab,"hanya Allah yang mengetahui maknanya". Tapi kalau kita tanya orang yang ngaji quran, dia akan tanya kita balik; "Kalau hanya Allah yang tahu maknanya, buat apa bubuh dalam al-quran. Kata quran tu petunjuk bagi orang  muttaqin..."

Sedikit sebanyak itulah berbezanya orang yang mengkaji dengan orang yang membaca. Dan tentunya berbeza dari segi ganjaran disisi Tuhan.

Tuesday, January 31, 2012

Anak Kunci Kejayaan

Seorang Pensyarah telah memberikan latihan kepada pelajarnya. Lakaran plan untuk sebuah rumah. Plan itu perlu dibuat dalam bentuk lukisan kerja. Lukisan berteknikal yang akan difahami oleh orang teknikal sahaja. Pelajar yang baru mengikuti kursus tersebut terkial-kial nak buat antara faham dengan tidak. Ada pelajar yang berpengalaman dapat buat dengan lebih cepat. Manakala yang selebihnya sekejap buat, sekejap intai kawan lain untuk tujuan rujukan.

Lukisan kerja ni bukannya mudah. Dah la ambil masa yang panjang untuk menyiapkannya. Pulak tu orang dah guna komputer, mereka ni diminta melukis guna alat lukisan. Cara lama lah katakan.

Setelah beberapa jam melukis, badanpun dah mula lenguh-lenguh ditambah lagi dengan aspek teknikal yang rumit, rasa boring pun mula terasa...

Datang pula si pensyarah ni memberitahu bahawa ada sedikit pembetulan yang perlu dibuat. 'Laluan ke bilik tidur perlu diluaskan sedikit supaya dapat ruang yang lebih selesa'. 

Ada yang mengeluh kerana kena buat lain. Lukisan yang ada tu dah hampir siap. Tiba-tiba kena buat lain. Ada yang dah nak give up. 'Apa ni cik... adoi.. bila nak siap ni kalau asyik ada pembetulan saja !! Ramai yang mengeluh. Masing-masing muka masam mencuka kerana geramkan si pensyarah tadi.

Setelah minta pelajarnya buat pembetulan, si pensyarah pun keluar dari kelas menuju kantin untuk pekena teh tarik dengan geng pensyarah yang lain.

Dua jam kemudian si pensyarah masuk kembali ke kelasnya. Dari reaksi para pelajarnya, si pensyarah faham yang semua pelajarnya dalam keadaan tension yang amat sangat, geram dan tak puashati. Ada yang melukis sambil mulut merungut dan mengutuk. Ada yang langsung tak nak buat. Lantak lah... Nak fail pun fail lah... 

Si pensyarah tersenyum melihat gelagat pelajarnya. "Itulah sebenarnya pelajaran kita hari ni. Sabar itu anak kunci kepada segala kejayaan. Kalau kamu tak mampu nak sabar dengan ujian sekecil itu, bagaimana kamu nak mengharungi cabaran didunia luar sana yang jauh lebih besar dari kerenah saya yang tak seberapa ni..."

Tersengih pelajar-pelajar dengan sindiran pensyarah itu tadi.

Monday, January 30, 2012

Diam vs Berkata-kata

Hari tu aku menghadiri satu mesyuarat. Dipengerusikan oleh seorang pengerusi yang menepati waktu, cekap, ringkas dan dapat membuat keputusan dengan baik. Beliau memang berkelayakan dan berwibawa. Bagi mempastikan mesyuarat berjalan tanpa ada yang terselindung, beliau mengungkapkan kata-kata berikut, "Dulu orang kata kalau segan bercakap (dalam mesyuarat) orang akan kata kita pemalu. Tapi sekarang kalau orang segan bercakap, orang akan kata kita sombong.

Tujuan ungkapan itu amat baik supaya semua ahli mesyuarat akan bercakap. Kita tak boleh lari dari dua keadaan ini. Kalau tak diam, kita mesti bercakap. Kita ni makhluk yang tertakluk kepada salah satu keadaan sahaja. Tak boleh buat kedua-duanya dalam satu masa...

Bagi aku begini. Diam itu bermakna aku belajar. Bercakap itu bermakna aku mengajar. Jadi dalam kedua-dua keadaan iaitu diam dan berkata-kata itu aku mendapat menafaat. Senang kan... Aku pilih jalan mudah supaya biarlah dikatakan sombong apabila diam, tetapi tidak kelihatan bodoh apabila banyak berkata-kata.

Saturday, January 28, 2012

Blog ini menggunakan tag line Fikir itu pelita hati. Ia sesuai dengan tema blog ini sebagai tempat untuk bercambahnya buah fikiran dari pelbagai sudut. Selalunya ayat ini diungkapkan oleh ahli-ahli falsafah dan orang tasauf yang mengamalkan kehidupan sufi.

Dengan berfikir itu, mereka dikurniakan pelbagai ilham yang murni dan indah dan berguna untuk dijadikan panduan hidup. Soalnya, bagaimana kaedah mereka berfikir???

Kadangkala kita berfikir macam mana nak dapatkan idea/ilham yang baik ye...

Kita kena ingat. Kita yang bersifat fizikal ini akan menghadapi masalah keletihan. Mata akan keletihan dan lama-lama kabur. Telinga akan keletihan dan lama-lama sedikit pekak. Tubuh badan yang gagah juga akan keletihan dan lama-lama akan lemah longlai. Tetapi akal tidak begitu. Makin kuat berfikir, staminanya makin kuat dan tidak mengalami keletihan seperti fizikal. Malah akal yang semakin kuat berfikir akan sentiasa segar seperti orang muda yang tidak pernah tua.
Ku mulai blog ini dengan segala puji bagi Allah yang menciptakan sekelian alam. Salawat dan Salam keatas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w yang dengannya kita ber tawajjuh bagi segala hajat.

Terima kasih kepada Syakirah puteriku yang membantu mengujudkan blog ini. Dan ku namai blog ini dengan ilhamsuci.

Dan aku memilih untuk memulainya pada hari ini, pagi ahad bertarikh 5 Rabiul Awwal, seminggu sebelum hari ulangtahun kelahiran junjungan besar Rasulullah s.a.w.

Semoga blog ini mendatangkan menafaat bagi sekelian kita sama ada untuk urusan dunia maupun akhirat.